SEANDAINYA pertemuan dengan Chelsea di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin menjadi ukuran, mungkin ada sesuatu yang boleh diharapkan kepada skuad Olimpik negara dalam kempen Kelayakan Olimpik London 2012, September nanti.
Meskipun tumpas 0-1 kepada naib juara Liga Perdana England itu, namun persembahan yang dijelmakan oleh pemain muda negara dengan dibantu sembilan pemain senior pada aksi persahabatan tersebut sudah cukup untuk memuaskan hati peminat setia mereka.
Malah selain jaringan kontroversi Didier Drogba yang dilihat belum melepasi garisan gol serta tindakan cemerlang bekas penjaga gol skuad negara, Mohd. Farizal Marlias yang menyelamatkan beberapa percubaan, sikap tidak berputus asa yang ditunjukkan pemain muda Olimpik pada babak kedua wajar diberi pujian.
Jurulatihnya, Ong Kim Swee sendiri berpuas hati dengan aksi anak-anak buahnya yang mana berjaya mencemaskan kubu pertahanan Chelsea biarpun diketuai oleh kapten England, John Terry, Ashley Cole dan Branizlav Ivanovic.
“Pemain kita beraksi seperti biasa, tanpa tekanan dengan dibantu oleh tenaga pemain senior,” kata Kim Swee pada sidang media kelmarin.
“Mereka mempamerkan dedikasi yang tinggi dan juga sikap tidak berputus asa untuk mendapatkan gol.
“Meskipun dibolosi satu gol, pemain muda kita tetap optimis dengan melakukan serangan biarpun berdepan pertahanan berkelas dunia.
“Jadi, impak positif seperti ini yang kita perlukan apabila mengharungi kempen Kelayakan Olimpik 2012 London, September nanti,” tambahnya lagi.
Menurut Kim Swee, ketumpulan penyudah penyerang skuad Olimpik negara juga adalah perkara biasa yang dihadapi oleh mana-mana penyerang di dunia ini, namun mengakui ia perlu diperbaiki dengan kadar segera sekira- nya mahu mencerahkan peluang dalam saingan Kumpulan C kempen itu nanti.
“Penyerang seperti (Fernando) Torres dan (Didier) Drogba juga terlepas beberapa peluang menja- ringkan gol, jadi sama juga seperti pemain muda kita.
“Walaupun ketinggalan 0-1 tetapi bagi saya, semangat yang dipamerkan pemain di atas padang telah memuaskan hati saya kerana mereka mempunyai keazaman untuk mencari gol dan mencatat kemenangan,” ujarnya.
Skuad Olimpik negara akan berdepan Jepun di gelanggang lawan pada aksi pertama Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012, 21 September depan. Selain Jepun, skuad negara juga diundi bersama Syria dan Bahrain.
Sebagai persiapan, skuad yang dibarisi 23 pemain itu berlepas ke Slovakia hari ini bagi menjalani latihan sehingga 28 Ogos depan.
No comments:
Post a Comment