Welcome To My Blog

Informasi-informasi terkini tentang dunia bolasepak di dalam negeri dan juga di luar negara.Local and Foreign Football.

Friday, 22 July 2011

Singa tetap yakin


SINGAPURA - Seakan iri hati melihat skuad bola sepak kebangsaan mendapat dua perla- wanan persiapan hebat menentang Arsenal dan Liverpool, ju- rulatih Singapura, Radojko Avramovic menyatakan bahawa prestasi para pemainnya kini turut berada pada tahap terbaik.
Berbanding Malaysia yang tewas 0-4 dan 3-6 pada kedua- dua perlawanan itu, Singapura 'lebih garang' apabila menang ketiga-tiga perlawanan persiapan menentang Maldives (4-0), Etoile FC (2-1) dan Taiwan (3-2).
Menurut Avramovic, rekod lampau membabitkan pertemuan Singapura dan Malaysia sebelum ini tidak lagi penting kerana pertarungan merebut satu slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014 itu lebih penting.
"Saya rasa tak adil untuk kita banding dengan skuad- skuad terdahulu kerana ini adalah satu perlawanan yang berbeza. Sedangkan seorang pemain pun mampu mengubah situasi.
"Kami kini sedang meningkatkan keupayaan pasukan dan sikap para pemain serta mentaliti mereka tampak semakin baik sepanjang beberapa aksi persahabatan sebelum ini.
"Pemain-pemain kami kebanyakannya sudah lama beraksi bersama. Cuma persiapan kali ini agak sedikit singkat.
"Tetapi sudah tentu pada akhir perlawanan, saya mahu melihat Singapura menjaringkan gol lebih banyak berbanding Malaysia," kata Avramovic pada sidang media praperlawanan di Hotel Amara di sini semalam.
Sementara itu, kapten Singa- pura, Shahril Ishak berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan begitu teruja untuk menyambut kehadiran skuad kebangsaan Malaysia di Stadium Jalan Besar malam ini.
"Kami mahu gunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pada perlawanan pertama ini, lebih-lebih lagi di atas permukaan padang sintetik (rumput tiruan).
"Semua pemain senior dalam pasukan ini memainkan peranan untuk memberi moti- vasi kepada pemain muda.
"Dengan fokus penuh dan strategi jurulatih, saya yakin kami akan dapat keputusan terbaik pada perlawanan ini," ujar pemain tengah berusia 27 tahun itu.
Biarpun dibarisi hampir separuh pemain muda, skuad Singapura masih bergantung harap kepada lima tonggak 'import', termasuklah penyerang veteran berusia 41 tahun dari Bosnia, Aleksander Duric.

Ada petanda kebangkitan


SEANDAINYA pertemuan dengan Chelsea di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin menjadi ukuran, mungkin ada sesuatu yang boleh diharapkan kepada skuad Olimpik negara dalam kempen Kelayakan Olimpik London 2012, September nanti.
Meskipun tumpas 0-1 kepada naib juara Liga Perdana England itu, namun persembahan yang dijelmakan oleh pemain muda negara dengan dibantu sembilan pemain senior pada aksi persahabatan tersebut sudah cukup untuk memuaskan hati peminat setia mereka.
Malah selain jaringan kontroversi Didier Drogba yang dilihat belum melepasi garisan gol serta tindakan cemerlang bekas penjaga gol skuad negara, Mohd. Farizal Marlias yang menyelamatkan beberapa percubaan, sikap tidak berputus asa yang ditunjukkan pemain muda Olimpik pada babak kedua wajar diberi pujian.
Jurulatihnya, Ong Kim Swee sendiri berpuas hati dengan aksi anak-anak buahnya yang mana berjaya mencemaskan kubu pertahanan Chelsea biarpun diketuai oleh kapten England, John Terry, Ashley Cole dan Branizlav Ivanovic.
“Pemain kita beraksi seperti biasa, tanpa tekanan dengan dibantu oleh tenaga pemain senior,” kata Kim Swee pada sidang media kelmarin.
“Mereka mempamerkan dedikasi yang tinggi dan juga sikap tidak berputus asa untuk mendapatkan gol.
“Meskipun dibolosi satu gol, pemain muda kita tetap optimis dengan melakukan serangan biarpun berdepan pertahanan berkelas dunia.
“Jadi, impak positif seperti ini yang kita perlukan apabila mengharungi kempen Kelayakan Olimpik 2012 London, September nanti,” tambahnya lagi.
Menurut Kim Swee, ketumpulan penyudah penyerang skuad Olimpik negara juga adalah perkara biasa yang dihadapi oleh mana-mana penyerang di dunia ini, namun mengakui ia perlu diperbaiki dengan kadar segera sekira- nya mahu mencerahkan peluang dalam saingan Kumpulan C kempen itu nanti.
“Penyerang seperti (Fernando) Torres dan (Didier) Drogba juga terlepas beberapa peluang menja- ringkan gol, jadi sama juga seperti pemain muda kita.
“Walaupun ketinggalan 0-1 tetapi bagi saya, semangat yang dipamerkan pemain di atas padang telah memuaskan hati saya kerana mereka mempunyai keazaman untuk mencari gol dan mencatat kemenangan,” ujarnya.
Skuad Olimpik negara akan berdepan Jepun di gelanggang lawan pada aksi pertama Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012, 21 September depan. Selain Jepun, skuad negara juga diundi bersama Syria dan Bahrain.
Sebagai persiapan, skuad yang dibarisi 23 pemain itu berlepas ke Slovakia hari ini bagi menjalani latihan sehingga 28 Ogos depan.

Friday, 8 July 2011

TM taja Harimau Malaya


SKUAD bola sepak kebangsaan mendapat suntikan terbesar apabila mendapat tajaan mencecah RM27.8 juta daripada Telekom Malaysia Berhad (TM) untuk tempoh empat tahun sehingga 30 Jun 2015.
Penajaan tahunan berjumlah RM6 juta untuk tahun pertama disusuli kenaikan 10 peratus untuk setiap tahun berikutnya itu membolehkan logo TM dipaparkan pada jersi latihan serta pelbagai barangan sukan, peralatan latihan dan pakaian rasmi skuad kebangsaan.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, penajaan tersebut merupakan satu sejarah baru dalam memasarkan skuad kebangsaan sebagai satu produk.
“TM akan menyalurkan peruntukan pertama pada 15 Julai ini. Malah insentif tambahan sebanyak RM1 juta juga akan diberi andai skuad kebangsaan muncul juara pada kejohanan di rantau ini (Piala Suzuki AFF).
“Tetapi saya berharap insentif kemenangan ini turut diberikan kepada skuad B-23 jika menjuarai Sukan SEA atau Sukan Asia kerana skuad kebangsaan hanya bersaing pada Piala Suzuki AFF, dua tahun sekali.
“Selain itu, TM juga akan menaja RM150,000 setahun untuk kelengkapan pakaian para pemain kebangsaan. Ini sudah cukup bagus untuk permulaan,” kata Tengku Abdullah pada majlis menandatangani perjanjian itu di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.
Namun bagi Tengku Abdullah, jumlah penajaan itu masih terlalu rendah jika hendak dibandingkan dengan perbelanjaan tahunan skuad kebangsaan Jepun berjumlah AS$40 juta (RM120 juta).
“Kalau nak berjaya seperti Jepun, kita perlu mempunyai dana yang cukup untuk program pembangunan dan skuad kebangsaan. Jadi diharapkan TM dapat merealisasikan harapan itu pada masa akan datang,” jelasnya.
Bagi memastikan wang penajaan TM itu digunakan dengan betul, Tengku Abdullah mahu FAM menubuhkan satu unit khas supaya akaun skuad kebangsaan dapat diasingkan.
“Saya mahu diwujudkan satu unit khas untuk memantau pentadbiran skuad kebangsaan ini dalam semua aspek termasuk latihan gaji, staf dan pemasaran. Saya mahu ia diuruskan secara profesional,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tengku Abdullah mencadangkan supaya diwujudkan yayasan bekas pemain bola sepak dalam masa terdekat ini bagi menjaga kebajikan para pemain yang pernah beraksi untuk skuad kebangsaan.